| Keuntungan SEDC diramal merosot |
|
|
| Tuesday, 09 June 2009 00:00 |
|
Perolehan keuntungan syarikat di bawah naungannya tahun ini dijangka merosot 20-30 peratus berikutan kegawatan ekonomi global KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) meramal perolehan keuntungan syarikat yang bernaung di bawah perbadanan itu tahun ini merosot antara 20 hingga 30 peratus berikutan kegawatan ekonomi global. Pengerusi SEDC Datuk Talib Zulpilip berkata, beliau menyifatkan cabaran ekonomi yang berlaku sekarang ini lebih ‘memeritkan’ berbanding masalah kegawatan ekonomi yang melanda negara pada 1997 dan 1998. “Situasi ekonomi hari ini lebih runcing berbanding sebelum ini (1997/1998), bagaimanapun SEDC tetap akan terus bertahan dan berusaha untuk meraih keuntungan seperti yang berjaya dilakukan tahun-tahun sebelumnya. “Kita akui tugas ini bukan sesuatu yang mudah kerana kesan kegawatan ekonomi menyebabkan banyak sektor terjejas termasuk pelancongan dan pembinaan,” katanya sambil menambah, SEDC meraih keuntungan sebanyak RM60 juta pada 2008. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis meraikan kehadiran Pengurus Besar SEDC yang baru, Dr Sulaiman Husaini di Menara SEDC di sini, semalam. Talib juga mengingatkan semua kakitangan SEDC supaya sentiasa mengamalkan semangat bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan produktiviti menepati sasaran. Yang penting, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak itu ialah semua anak syarikat yang bernaung di bawah SEDC mesti melakukan tugas dengan sempurna mengikut perancangan. “Bagaimanapun mana-mana program yang telah dirancang sebelum ini tetapi kurang sesuai dengan keadaan situasi sekarang perlu disusun semula,” jelasnya. Ditanya mengenai perkembangan projek pemanjangan Tebingan Kuching, Talib menjawab bahawa projek itu tetap diteruskan mengikut perancangan. “Tiada rancangan untuk menangguhkan projek pemanjangan Tebingan Kuching, cuma peruntukkan untuk projek ini belum lagi diterima,” ujarnya selain memaklumkan bahawa SEDC sedang mencari jalan untuk terlibat sama dalam pembangunan SCORE. Sementara itu, Sulaiman yang pernah berkhidmat sebagai Residen Samarahan serta arif dalam bidang penulisan dikejutkan dengan majlis ringkas sempena hari jadi beliau yang kebetulan disambut hari ini. “Semoga khidmat saya bersama SEDC ini akan dapat membawa lebih kemajuan kepada perbadanan yang sedia kukuh ini pada masa akan datang… saya juga sangat berharap kepada kerjasama daripada pengerusi (Talib) serta seluruh kakitangan SEDC,” tambahnya. Borneo Post 09/06/2009 |







![]() | Today | 14 |
![]() | Yesterday | 453 |
![]() | This week | 814 |
![]() | This month | 2353 |
![]() | All | 343911 |